Assalamu'alaikum wbt...
Alhamdulillah, masih terus diberi kesempatan untuk menjenguk blog ini. Hari ini saya nak berkongsi sedikit tentang satu novel yang telah saya khatam berulang kali ni. Novel keluaran JS Adiwarna. Tajuknya Langsir Biji Remia. Unikkan nama tajuknya?He, itulah, seunik ceritanya juga bagi saya. Cerita yang lain dari yang lain.
Langsir Biji Remia mengisahkan tentang seorang gadis bernama Duha Hafa. Gadis berpurdah yang diminati anak jirannya sendiri, Umair. Namun, selepas mengetahui rahsia di sebalik purdah yang dipakai, Umair mulai menjauhkan diri. Namun, kehadiran Ahmad Muhsin mengubah segalanya. Menerima seseorang dengan seadanya, hanya kerana Allah semata membuatkan yang hodoh nampak cantik, yang lemah nampak kuat dan yang kurang nampak lebih.
Langsir Biji Remia sungguh mengajar saya erti sebuah kesyukuran. Tepat seperti apa yang ditulis di belakang novelnya:
Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.
Sejujurnya, bukan mudah untuk diri sendiri menerima kekurangan yang ada. Segala cacat cela dan keburukan diri buat kita rasa malu dan tak mampu untuk berdepan dengan umum. Tapi, pernah tak kita sedar bahawa hidupnya kita di dunia ini adalah sementara. Destinasi akhirat itu yang utama. Syurga atau neraka, itu kita yang pilih. Sedangkan Allah sendiri tidak pernah menilai, yang cantik menawan ke syurga yang cacat buruk muka ke neraka, tidak pernah sekali-kali. Tetapi, manusia yang lemah itu selalu melihat kepada kecantikan yang akan sirna, melihat kepada kesempurnaan paras rupa dan tubuh badan daripada cuba megutamakan iman dan budi peribadi seseorang. Terutamanya dalam membuat pilihan untuk dijadikan teman hidup. Seperti mana Umair yang memilih gadis cantik sebagai isteri tetapi akhirnya bahagia sukar untuk dihirup dan dikecapi.
Perempuan itu dinikahi kerana empat faktor. Kerana hartanya, nasabnya,
kecantikannya dan kerana agamanya. Maka menangkanlah wanita yang
mempunyai agama, engkau akan beruntung.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menjenguk kembali ke alam realiti membuatkan saya tertanya-tanya, masih wujudkan insan seperti Ahmad Muhsin di dunia ini. Menerima takdir Ilahi dengan sepenuh hati. Malah saat pertama memandang Duha Hafa, hatinya tenang tak berkocak seperti yang lain. Dia yakin setiap insan punya kekurangan dan yang Maha Sempurna hanya Dia, tiada yang lain. Usah kita terlalu melihat kepada kekurangan diri. Jadilah kekurangan itu, sebagai batu loncatan untuk kita mencari dan menjadi yang terbaik. Bukan di sisi manusia tetapi cukuplah di sisi-Nya. Kadang-kadang terdetik di hati kenapa Allah jadikan aku begini dan tidak seperti mereka (yang pada mata kasarnya dilihat begitu sempurna)? Mempersoalkan setiap takdir dan ketetapan Allah tidak membawa apa-apa melainkan menambah dosa dalam diri dan hidup dirundum sepi. Seolah-olah untuk satu kekurangan itu, kita terus melupai nikmat lain yang diberi. Terlalu banyak sehingga tidak terkira. Jangan sampai kita jadi hamba yang kufur nikmat. Sesungguhnya, tidak Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Walaupun pahit yang harus ditelan yakinlah kita ke syurga dengan nilaian Allah bukannya manusia semata.
“Hai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya
kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu
disisi Allah adalah orang yang paling takwa diantara kamu.”
(QS. Al-Hujuraat : 13)
Komen dari salah seorang sahabat, Siti Fairuz yg baca novel ni =)
"Cantik dilihat mata akan sirna, cantik yang dilihat jiwa akan kekal selamanya"
Bagi yang suka membaca, anda mesti dapatkan novel ini. Sangat best dan tak rugi kalau beli. Disamping berhibur ianya juga beri kita banyak pengajaran.
p/s: tercari-cari Ahmad Muhsin dalam dunia realiti...semoga ketemu suatu hari nanti, in syaa Allah..amiin =)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan